kopi dan tampal>>>> rujukan di hari tua~
APAKAH perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah?
Perkara utama yang harus difikirkan sebelum membuat keputusan ialah melihat kemampuan kewangan sendiri. Ini kerana tidak semua individu yang bekerja dan mempunyai pendapatan bulanan mampu membayar ansuran bulanan bagi kediaman jenis banglo.
Untuk memudahkan perancangan, kita perlu membuat kiraan dengan menolak semua perbelanjaan termasuk hutang, simpanan dan pelaburan. Baki yang tinggal digelar sebagai lebihan dan ia menjadi penanda aras untuk menentukan rumah jenis apa yang harus dibeli.
Namun, harus diingat bahawa pendapatan bulanan tidak seharusnya dicampur dengan elaun atau bayaran kerja lebih masa (OT) kerana ia bukan sebahagian pendapatan tetap.
Sekiranya individu itu mempunyai lebihan sebanyak RM500, adakah dia perlu membeli kediaman yang menetapkan ansuran bulanan sekitar jumlah sama?
Faktor pemilihan yang harus diambil kira adalah lokasi dan jumlah lebihan RM500 itu mungkin cukup sekiranya rumah yang ingin dibeli itu berada pada lokasi yang setara.
Sebelum pinjaman perumahan diluluskan, bank akan melihat kelayakan pemohon. Ini termasuk meneliti pendapatan bulanan dan harga rumah yang ingin dibeli. Malah, bank akan melihat sama ada bayaran bulanan tidak melebihi satu per tiga gaji.
Contohnya, pembeli ingin mendapatkan rumah berharga RM150,000. Sekiranya dicampur faedah yang dikenakan bank, bayaran pendahuluan serta tempoh pembiayaan, maka bayaran bulanan mencecah RM1,012 dan ia jelas menunjukkan pembeli yang mempunyai lebihan pendapatan RM500 masih belum mampu membeli rumah berharga RM150,000.
Jika perkara seumpama itu berlaku, apakah langkah yang harus diambil oleh individu itu?
Ada pihak berpendapat bahawa lebih baik membeli rumah walaupun perbelanjaan bulanan mungkin tidak cukup berbanding menyewa bertahun-tahun. Pendapat itu mungkin tidak berapa benar kerana dengan menyewa, individu itu masih mampu menyimpan bagi membuat pembayaran pendahuluan lebih tinggi walaupun dia terpaksa menyewa hampir 10 tahun.
Mungkin ada individu yang mengikat perut untuk membayar ansuran bulanan rumah, namun harus ambil kira simpanan untuk kecemasan.
Selain itu, bagi mereka yang masih ingin mendapatkan rumah sendiri, memilih rumah yang dilelong adalah satu cara yang baik kerana harga rumah lelongan adalah 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran.
Jangan terus melabelkan rumah lelong sebagai rumah tinggal atau banyak kerosakan kerana bakal pembeli berhak melihat keadaan rumah sebelum membuat bidaan.
Apa pula perkara yang harus diambil kira sebelum membuat keputusan membeli rumah?
Banyak pihak hanya menyediakan wang pendahuluan 10 peratus daripada harga rumah, namun tanpa disedari jumlah wang yang diperlukan adalah lebih banyak daripada itu kerana ia merangkumi kos guaman serta surat perjanjian jual beli. Maka, untuk lebih selamat, bakal pembeli perlu menyediakan wang sebanyak 15 peratus daripada harga rumah bagi mengelakkan kesesakan di kemudian hari.
Malah, saya nasihatkan supaya sebelum membuat keputusan untuk membeli rumah, pastikan anda benar-benar mempunyai simpanan yang cukup untuk membuat bayaran pendahuluan kerana idea membuat pinjaman peribadi bagi membayar wang pendahuluan hanyalah akan menambah masalah.
Selain itu, antara tip yang boleh diguna pakai adalah bayar wang pendahuluan setinggi yang boleh supaya boleh memohon pinjaman bank serendah yang boleh serta tetapkan tempoh pembayaran sesingkat yang boleh antara 15 hingga 20 tahun.
Walaupun ada bank yang menawarkan pinjaman sehingga dua generasi mencecah tempoh 40 tahun, ia bukan satu langkah yang bijak kerana kita pasti tidak mahu mewariskan hutang kepada anak-anak.
Apa nasihat untuk mereka yang pertama kali membuat pembelian rumah?
Kita sedia maklum semua orang memiliki rumah idaman masing-masing dan tidak ada yang mengidamkan untuk memiliki rumah kecil. Namun, sebagai permulaan, ia adalah langkah terbaik kerana rumah adalah keperluan. Walaupun kita mahukan rumah semi-D berharga RM300,000, namun berdasarkan pendapatan semasa ia di luar kemampuan, maka tidak salah sekiranya kita membeli apartmen atau flat yang murah.
Dalam tempoh 10 tahun, harga rumah mungkin akan meningkat. Sekiranya keadaan itu berlaku, ambil tindakan dengan menjual rumah berkenaan dan wang yang diperoleh boleh digunakan untuk membayar wang pendahuluan rumah idaman anda.
Jangan tertekan dengan spekulasi bahawa sekiranya tidak beli rumah sekarang, harga akan meningkat. Memang benar harga rumah akan meningkat namun, ia tidak akan melebihi dua kali ganda harga kini dalam tempoh lima tahun. Malah, harga siling rumah ditetapkan pasaran. Jika terlalu mahal, tiada siapa akan beli.
hue hue hue..jd salesmen pe
ReplyDeletekamu ditag!! yeayy~
ReplyDelete